Spyshot Nissan Sylphy serba baharu dirakam di atas treler
Satu lagi kiriman spyshot Nissan Sylphy serba baharu yang diterima menerusi e-mel dari saudara Nic Goh yang sempat merakamkan beberapa foto di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran dengan Serendah.
Walau pun tidak begitu jelas kelihatan imej sebenar luaran Sylphy yang diangkut oleh treler ini, namun melalui foto yang dirakamkan ini tampak sekali model serba baharu ini tidak dipadankan dengan spoiler pada bahagian bonet. Tidak seperti model Sylphy yang pernah dirakamkan secara spyshot minggu lalu yang dilengkapi dengan spoiler bahagian bonet serta lampu brek ketiga. Namun ia memiliki rekaan rim, kekemasan krom pada plat nombor dan lampu belakang LED yang sama.
Untuk pasaran Malaysia, Sylphy ini dijangka bakal dijanakan oleh enjin 1.8 liter MRA8DE empat silinder yang dipadankan dengan Twin C-VTC dan Xtronic CVT yang telah diberi penambah baikan.
Mengikut sumber, Sylpyh ini bakal dilancarkan pada penghujung April ini setelah sekian lama menantikan ketibaannya di pasaran Malaysia. Untuk rekod, ia telah pun diperkenalkan di peringkat global dua tahun yang lalu di China. Malah Thailand, Filipina, US dan Australia juga telah melancarkan model ini untuk pasaran mereka.