Toyota Vios 2013 berimej lebih segar – Bermula pada harga RM73,200 hingga RM93,200
Berita mengenai kelahiran Toyota Vios generasi ketiga telah pun bertebaran sejak beberapa tahun ini. Malah gambar-gambar reka bentuk model ini begitu mudah didapati di layar Internet walau pun ketika itu ia masih belum dilancarkan. Walau bagaimana pun pelancaran di peringkat global telah pun berlangsung pada Mac yang lalu di Thailand.
Kemudian negara jiran, Indonesia juga pantas membawa masuk model ini ke pasaran mereka. Berlainan pula di Malaysia kerana UMW Toyota Motor bagai mahu berteka-teki mengenai kemasukannya membuatkan ramai pemerhati dunia automotif tempatan termasuk peminat tegarnya tertanya-tanya.
Namun setelah UMW Toyota Motor mula mengadakan kempen mempromosikan model ini sejak Julai yang lalu, memberi klu bahawa ia semakin menghampiri pasaran tempatan. Akhirnya pada 2 Oktober yang lalu penantian berakhir jua apabila Vios baharu ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.
Sehari sebelum majlis pelancarannya, pihak media permotoran tempatan telah diundang khas untuk menghadiri sesi pandu uji model ini di Putrajaya. Sewaktu pertama kali menyaksikan susuk Vios ini di hadapan mata, ekspresi pertama yang muncul ialah apabila perkataan “WOW!” terpacul di bibir. Kagum dengan rekaan luarannya yang ternyata memberikan gambaran yang lebih impresif.
Jika dahulu, pasti ada mulut-mulut yang mengatakan bahawa Vios kurang sesuai untuk generasi muda kerana memiliki rekaan yang agak skema. Malah ada juga yang mengaitkannya dengan rupa ikan dugong. Namun kelahiran Vios baharu ini merubah segalanya. Tiada lagi ‘imej dugong’ seperti yang sering dikaitkan. Ia hadir dengan rekaan yang lebih dinamik. Gabungan imej ranggi dan sporty cukup membantu menyerlahkan lagi paras rupa model ini. Malah secara tidak langsung memberikan impak yang jauh berbeza berbanding adik-beradik Vios yang terdahulu.
Malah sejak Julai lalu, UMW Toyota Motor telah menerima tempahan melebihi lapan ribu unit. Sekali gus telah membuktikan bahawa Vios masih kekal di tangga pertama bagi segmen kenderaan penumpang kecil bukan nasional.
Masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 1.5 liter empat silinder sebaris, 16 injap, DOHC dengan VVT-i, Vios serba baharu ini hadir dengan lima varian iaitu J (manual), J (auto), E (auto), G (auto) dan TRD Sportivo (auto). Mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 107 hb pada 6,000 rpm dan tujahan tork 141 Nm pada 4,200 rpm, Vios ini turut mengekalkan kotak gear yang sama iaitu transmisi automatik dengan empat-kelajuan Super ECT dan lima-kelajuan bagi varian J.
Walau pun tidak menampilkan enjin dan kotak gear yang baharu, namun menurut Toyota, Vios ini telah ditambah baikan bagi penggunaan bahan api iaitu sebanyak lima peratus berbanding model terdahulu. Sekali gus, ia telah memberikan kelebihan kepada penggunaan bahan api yang lebih efisiensi dengan penerapan komponen berkaitan pada enjin dengan membuatkan ia lebih ringan dan kompak.
Memandangkan model ini masih memilih enjin dan kotak gear yang sama, maka sudah pasti imej luaran serta dalaman menjadi prioriti atau pun alasan utama mengapa ia masih relevan dan wajar untuk dijadikan pilihan. Mengapa pada perenggan kedua, saya mengatakan Vios baharu ini tiada lagi ‘imej dugong’? Ini kerana rekaan luarannya telah banyak diberi suntikan dengan gaya yang menepati cita rasa terkini sekali gus berjaya menyingkirkan ‘imej dugong’ yang seakan menjadi trademark pada Vios generasi terdahulu. Daripada hadapan sehingga ke bahagian belakang, rekaannya telah banyak dipertingkatkan dan pastinya ia lebih menarik pandangan mata.
Seperti mana kebanyakan model kenderaan masa kini, ciri aerodinamik turut dipertaruhkan bagi kerangka Vios ini melalui ciri-ciri seperti bumbung ‘catamaran’ dan garisan badan yang lebih meleret. Selain daripada itu, kerangka Vios baharu ini turut menggunakan lebih banyak besi dari material high-tensile yang lebih ringan tetapi kekal kuat dengan objektif mahu menghasilkan penggunaan bahan api yang lebih efisien. Walaupun masih mengekalkan jarak roda yang sama dengan generasi sebelumnya, Vios baharu ini mempunyai badan yang 110mm lebih panjang dan bumbung yang 15mm lebih tinggi.
Dengan membawakan DNA terkini, aspek yang lebih sempurna dengan gabungan antara kualiti, kepelbagaian fungsi dan gaya menjadikan Vios tampak mempersona. Pandangan mata tertancap pada bahagian hadapan jentera ini. Di mana ia menampilkan gril kemasan krom pada bampar hadapan yang lebih tirus dan tampak garang. Varian TRD dan G dipadankan dengan lampu utama projektor dengan fungsi penyelarasan secara manual dengan rekaan yang lebih stylish memberikan fokus pandangan yang lebih lebar dan terang.
Manakala varian lain pula sekadar lampu utama reflektor biasa sahaja. Varian TRD juga lebih beruntung kerana turut ditampilkan dengan lampu pencahayaan siang (DRL) yang membantu memberikan visibiliti yang lebih jelas dalam apa jua keadaan. Namun jika anda memilih varian lain seperti 1.5G, 1.5E dan 1.5E, DRL ini turut boleh didapati dalam opsyen aksesori bersama pakej aerokit.
Lain-lain elemen yang turut menyerlahkan lagi paras rupa Vios ini ialah dengan adanya cermin sisi berkuasa (ditampilkan bersama lampu signal indikator untuk varian TRD dan 1.5G sahaja), lampu kabus di bahagian belakang bagi tujuan keselamatan yang mampu mempertingkatkan daya visibiliti dalam apa jua keadaan, rekaan unik pada bahagian belakang dengan pandangan yang tampak mewah dan dinamik, lampu belakang dengan bentuk yang lebih berlekuk, serta pastinya rim aloi bersaiz 15 inci yang stylish. Selain daripada itu, bagi meminimumkan bunyi bising hasil dari seretan angin dan roda di jalan raya, cermin hadapan akustik menjadi pilihan kejuruteraan Toyota bagi varian TRD dan G sahaja.
Menjenguk ke bahagian kabin, bagi saya, rekaan dan hiasannya hanya bersifat ‘biasa-biasa’ saja. Cuma ada sedikit perubahan pada papan pemuka di mana panel meter telah dialihkan di bahagian hadapan bertentangan dengan pemandu. Berbanding dengan model sebelumnya, panel meter kluster terletak di bahagian tengah papan pemuka. Namun ia bukanlah kedudukan yang strategik kerana sedikit sebanyak menganggu fokus pemandu. Mana hendak tengok meter, mana hendak tengok jalan di hadapan? Jadi, keputusan Toyota untuk mengalihkannya pada kedudukan yang konvensional sememangnya tepat.
Bukan itu saja, bagi mengelakkan tanggapan bahawa rekaan dalaman turut kliche, maka Toyota telah memberikan sedikit suntikan baharu pada rekaan panel meter dan paparan multi-informasi (MID) yang lebih stylish. Tidak memilih hiasan yang serba fancy sebaliknya masih mengekalkan imej kontemporari, kedudukan butang kawalan pada papan pemuka juga mudah untuk kendalikan termasuklah kawalan bagi alat penghawa dingin dan sistem audio. Mengenai sistem audio, cukuplah sekadar yang asas sahaja dengan pemain CD dan radio, yang turut menyokong format MP3 dengan fungsi USB.
Satu lagi pujian yang wajar diberikan pada Vios baharu ini ialah ia tampil dengan penuh keselesaan termasuklah pada tempat duduk penumpang di belakang di mana ruang kaki dan ruang kepala mempunyai keluasan yang begitu memuaskan. Untuk varian TRD, G dan E, ruang tempat duduk belakang boleh dilipatkan pada nisbah 60:40, memberikan lebihan ruang kargo dengan kapasiti sedia ada sebanyak 506 liter (boleh memuatkan empat buah beg golf dalam satu masa). Bagi kekemasan dalaman, setiap varian menerima sentuhan material berbeza.
Varian TRD paling sporty di mana kekemasan dalamannya dibaluti dengan material kulit berwarna hitam dengan jahitan merah. Varian G pula tampak sedikit mewah dengan material kulit berwarna Dark Ivory. Untuk varian E, gabungan dua tona warna hitam dan kelabu dengan material fabrik. Manakala varian J pula lebih ringkas dengan penggunaan material fabrik berwarna hitam.
Ok. Mari bercerita mengenai prestasi dan pengendaliannya. Sudah tentu anda tertanya-tanya, kerana dengan enjin dan kotak gear yang sama seperti mana model terdahulu, adakah Vios baharu ini tidak memberikan impak berlainan daripada sudut prestasi dan pengendalian?
Jika ingin mendapatkan kelajuan yang lebih tinggi, tidak perlu menekan pedal minyak sehingga ke lantai kereta kerana ia masih boleh meluncur dengan sempurna. Berbanding dengan model sebelum ini, Vios 2013 ini lebih seronok dipandu. Bunyi bising juga sukar didengari dari dalam kabin. Lebih kedap bunyi melainkan anda menekan pedal minyak pada tahap maksimum dan pastinya akan kedengaran enjin mengaum. Pertukaran gear automatik juga kurang dirasai sentakannya dan responsif bertindak.
Walau pun hanyak memandu ujinya selama setengah hari, namun kepuasannya masih mampu dirasai. Corak jalan yang pelbagai termasuk melalui lebuh raya SKVE, kawasan kampung, jalan beralun, berbukit dan berselekoh membuatkan saya memang ralit memandu jentera ini. Saya tertarik dengan kawalan stereng yang cukup responsif. Seronok dikendalikan terutamanya ketika melayan selekoh-selekoh yang terdapat di sepanjang perjalananan.
Malah hentakan suspensinya juga lebih lembut iaitu hasil daripada sistem suspensi yang telah diberi penambah baikan yang memadankan MacPherson Struts di bahagian hadapan dan Torsion Beam di belakang dengan kedua-duanya memiliki sokongan komponen penstabilan. Olegan kerangka jentera ini juga memuaskan dan kurang terasa membuai terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang beralun dan tidak rata.
Mengenai sistem keselamatan yang diterapkan bagi Vios ini, tidak kira apa varian yang menjadi pilihan, anda akan menerima ABS dengan EBD dan BA, dua beg udara di bahagian hadapan, Isofix, reverse sensors, door visor, lampu kabus di belakang dan bilah cermin boleh laras secara automatik. Tetapi jangan bertanya mengenai Kawalan Penstabilan Kenderaan (VSC) kerana Toyota tidak memberikan bonus tambahan untuk sistem tersebut bagi Vios 2013 ini.
Pembeli juga boleh mendapatkan aksesori pilihan yang didatangkan secara berasingan iaitu dua sistem skrin paparan-sentuhan bersaiz 5.8 inci DVD-AVX dan 7.0 inci DVD-AVN. Kedua-dua sistem tersebut turut menawarkan format DVD, MP3, AUX, USB, SD dan Bluetooth. Tetapi sistem DVD-AVN menawarkan pilihan tambahan iaitu Smartphone Line (yang boleh disambungkan dengan telefon bimbit pintar terpilih sahaja), pengesan suara dan navigasi.
Vios 2013 ini didatangkan dengan lima pilihan warna kerangka yang elegan iaitu Medium Silver Metallic, perak metalik, hitam, coklat metalik dan putih. Turut menawarkan tiga tahuin jaminan atau 100,000 km (yang mana terlebih dahulu).
Harga adalah seperti di bawah :
• Toyota Vios 1.5 J (manual) – RM73,200
• Toyota Vios 1.5 J (auto) – RM77,300
• Toyota Vios 1.5 E (auto) – RM82,900
• Toyota Vios 1.5 G (auto) – RM88,500
• Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo (auto) – RM93,200
Spesifikasi :
Enjin : 1.5 liter 4-silinder sebaris, 16-injap, DOHC dengan VVT-i
Transmisi : Automatik 4-kelajuan dengan Super ECT / Manual 5-kelajuan
Kuasa maksimum : 107hp @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 141 Nm @ 4,200 rpm
Kelajuan maksimum : 170 kilometer sejam
Catatan kelajuan daripada sifar ke 100km : 12 saat
Kapasiti bahan api : 42 liter (6.3 liter per 100 km)
Tayar : 185/60R15