Bank Negara nafi dakwaan arahan kenaikan kadar pembiayaan kenderaan
Menerusi laporan BERNAMA semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan telah mengeluarkan arahan kepada pihak bank untuk menaikkan kadar pembiayaan bagi kenderaan.
BNM menerusi kenyataannya menyebut, institusi kewangan yang menentukan kadar pembiayaan mengikut beberapa faktor tertentu termasuklah penilaian terhadap kedudukan kredit peminjam, kadar pembiayaan pasaran dan pertimbangan yang kompetitif.
Isu ini timbul bila ada akhbar tempatan yang mengeluarkan kenyataan berhubung dengan kenaikan pembiayaan kenderaan untuk kenderaan nasional dan juga bukan nasional sejak dua minggu yang lalu.
Laporan akhbar itu juga menyebut maklumat ini diperoleh daripada pihak bank sendiri yang menerima “arahan” BNM, yang didorong oleh kebimbangan bahawa pinjaman tidak berprestasi untuk kenderaan bermotor adalah semakin meningkat.