Nissan Murano 2015 bakal ditayangkan 16 April ini di NY
Nissan telah mengeluarkan kenyataan bahawa pada 16 April ini, Nissan Murano 2015 akan membuat penampilan peringkat global di New York International Auto Show 2014. Sebelum ia dipamerkan secara rasmi, Nissan telah mengeluarkan video Murano baharu ini.
Murano 2015 dijangkakan bakal mendahului model Nissan yang lain untuk mempamerkan rekaan terkini ciptaan jenama ini.
Mengimbas kembali sejarah kelahiran Murano, generasi pertamanya diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu. Di mana generasi pertamanya mendapat tempat di dalam pasaran SUV seantero dunia. Generasi kedua Murano pula diperkenalkan pada tahun 2009.
Bagi model baharu ini, Nissan masih menyimpul rahsia mengenai spesifikasinya termasuklah enjin yang bakal ditampilkan. Jika dua model sebelum ini, enjin V6 dipilih, mungkin juga ia akan beralih arah kepada enjin yang lebih kecil atau pun pengecas turbo pula.
Namun menerusi video pengenalan model ini, kelihatan ia menerima suntikan imej yang lebih bergaya terutamanya penampilan lampu utama LED yang kelihatan menawan.
Bagi menambahkan debaran, Nissan mengatakan bahawa model Murano baharu ini menampilkan keluasan ruang yang lebih optimum, dengan rekaan dalaman yang premium, penambahan aspek keselamatan serta menampilkan lebih banyak teknologi terkini.