Maserati Quattroporte sedan mewah empat pintu paling berkuasa – Harga bermula RM898,000 (varian S) & RM1.1j (varian GTS)
Malaysia antara salah sebuah negara yang menjadi medan pasaran bagi kenderaan mewah biar pun skalanya tidaklah sebesar negara jiran seperti Indonesia dan Singapura. Pun begitu, jenama-jenama mewah kenderaan seantero global turut memilih Malaysia untuk membawa masuk barisan jenteranya memandangkan industri automotif di sini tidak kurang hebatnya. Salah satu jenama kenderaan mewah yang turut memilih Malaysia ialah Maserati melalui pengedar, Naza Italia Sdn. Bhd sejak tahun 2009.
Untuk rekod, sebanyak 40 unit Maserati telah berjaya terjual di Malaysia pada tahun lalu. Dan untuk tahun hadapan pula, Naza Italia menyasarkan untuk menjual sebanyak 92 unit Maserati di Malaysia. Malah pada tahun hadapan juga, Naza Italia bercadang untuk membawa masuk Maserati Ghibli pada suku tahun pertama dan Maserati Levante sebelum tirai 2014 berlabuh.
Terbaharu, Naza Italia telah membawa masuk Maserati Quattroporte generasi keenam dengan dua varian iaitu Quattroporte S dan Quattroporte GTS. Ia merupakan sedan mewah empat pintu yang dikatakan paling digemari para peminatnya.
Menurut Maserati, Quattroporte GTS yang dijanakan oleh enjin 3.8 liter V8 Twin-Turbo merupakan model Maserati yang paling berkuasa dalam kelasnya. Mampu menghamburkan kuasa sehingga 530hp (mencecah 710hp pada peringkat overboost) dan tork 650Nm, jentera ini dengan kelajuan paling cemerlang sehingga 307 kilometer sejam (km/j).
Manakala Quattroporte S pula yang dikuasakan enjin 3.0 liter V6 Twin Turbo yang mampu meledakkan kuasa sehingga 410hp dan tork 550Nm antara 1,750 hingga 5,000rpm yang mampu dipacu sekencang 285km/j. Kedua-dua varian dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan lima mod pemanduan iaitu Auto Normal, Auto Sport, Manual Normal, Manual Sport dan I.C.E (Increased Control and Efficiency).
Sedan mewah penuh berprestasi ini pasti kurang lengkap jika tidak ditampilkan dengan sistem suspensi yang sepadan. Lantas memilih double wishbone aluminium penuh untuk bahagian hadapan dan sistem multi-link lima bar di belakang yang dilengkapi dengan bar anti-olengan dan Skyhook untuk pengendalian yang lebih optimum. Manakala bagi mendapatkan kuasa brek yang cukup responsif, dual-cast discs dengan sistem kaliper daripada jenama Brembo menjadi pilihan.
Melihat fizikalnya, Quattroporte baharu ini lebih lebar, panjang dan besar berbanding model sebelumnya. Dengan gril radiator tiga dimensi dan logo ‘Saetta’ pada bampar hadapan, ciri-ciri klasik, mewah dan elegan bersatu menyerlahkan lagi imej Quattroporte ini.
Dipadankan dengan tayar bersaiz 19 inci, pemilik Quattroporte juga mempunyai pilihan lain untuk mendapatkan tayar lebih besar antara 20 hingga 21 inci. Tiga pilihan tayar ini turut ditawarkan dengan jenama Pirelli, Dunlop mahu pun Continental.
Memasuki ruang kabin, seakan berada dalam sebuah jet peribadi mewah. Sungguh selesa dengan kekemasan serba mewah merajai setiap sudut dalamannya. Keselesaan itu keutamaan, Justeru kedua-dua varian Quattroporte ini memilih kemasan kulit Alcantara yang tampak mewah untuk membaluti tempat duduknya. Skrin paparan TFT bersaiz tujuh inci dengan panel instrumen dan stereng balutan kulit antara daya tarikan pada bahagian kokpit.
Jam analog berciri klasik yang terletak di bahagian atas papan pemuka turut mengundang perhatian. Malah terdapat juga skrin LCD untuk tempat duduk belakang berserta Wi Fi Hotspot untuk hiburan para penumpang. Turut dipadankan dengan pemain audio video dan sistem bunyi jenama Bowers & Wilkins bersama 15 unit pembesar suara bagi menambahkan impak hiburan sepanjang perjalanan.
Memberikan jaminan aspek keselamatan terbaik, kedua-dua varian ini juga ditampilkan dengan Program Kestabilan Maserati (MSP) termasuklah ABS, EBD, ASR (Anti-Slip Regulation), BAS (Brake Apply Sensor) dan Hill Holder. Selain daripada itu, Quattroporte juga dipasangkan dengan enam beg udara, tali pinggang pra-regangan dan beberapa ciri lain untuk mempertingkatkan lagi aspek keselamatannya.
Dengan harga atas jalan (tidak merangkumi cukai jalan dan insurans) RM1,138,800 bagi Quattroporte GTS dan RM898,800 untuk Quattroporte S, dengan refleksi tema “Raikan Elegan, Teknologi dan Kuasa”, pastinya kedua-dua varian ini mampu menambat perhatian para golongan kelas atasan yang inginkan sebuah jentera penuh prestasi dan serba mewah.