Lexus NX serlah gaya kemewahan & kemodenan
Lexus International telah pun bersedia untuk memperkenalkan model terbaharu mereka iaitu NX yang dibangunkan di bawah konsep “Premium Urban Sports Gear”. Ia tampil dengan rekaan yang menarik dengan menampilkan penjana kuasa (powertrain) baharu Lexus.
Model asas iaitu NX 200 dijanakan oleh enjin 2.0 liter. Begitu juga dengan model NX 200t tetapi ia turut ditambah dengan pengecas turbo.
Manakala model hibrid iaitu NX 300h pula dikuasakan oleh enjin 2.5 liter empat silinder yang menggunakan sistem hibrid sepenuhnya.
Model-model NX ini juga ditampilkan dengan sistem Lexus Stop & Start bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.
Bagi memantapkan lagi rekaan luarannya yang nampak sungguh maskulin, ia turut dipadankan dengan pilihan rim sama ada 17 atau 18 inci. Manakala pada bahagian hadapannya pula, jeriji gelendong besar serta lampu utama seperti ‘bermata sepet’ menjadi pilihan.
Buat pertama kalinya dalam sejarah automotif dunia, Lexus turut mengimplementasikan mekanisme pembuka pintu dengan pembuka kunci tersembunyi yang dihiasi lampu bersepadu yang menyerlahkan ciri penuh kemewahan.
Sementara itu, bagi ruang kabinnya, Lexus turut memperkenalkan Wireless Charging Tray yang boleh mengecas peranti mudah alih, mengaplikasikan Lexus Remote Touch Interface dengan pad-sesentuh, skrin paparan panoramik dan paparan komprehensif pelbagai-maklumat (termasuk dengan pengesan Lexus-first G dan meter kuasa), All-Speed Dynamic Radar Cruise Control, monitor titik buta dan Rear Cross Traffic Alert.
Kabinnya juga menerima lebih banyak ruang bagi memberikan keselesaan yang optimum dan kekemasan kulit berkualiti tinggi yang melatari kebanyakan ruang di dalamnya yang begitu menyerlahkan gaya kemewahan dan penuh kemodenan.
Lexus NX ini bakal dipertontonkan di Beijing Motor Show 2014 buat pertama kalinya pada 20 April ini.