Mitsubishi Lancer GTE sudah ada di bilik pameran bermula hari ini!
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini secara rasminya telah pun melancarkan model baharu Mitsubishi Lancer 2.0 GTE.
Menerima penambahbaikan dengan kehadiran pakej premium baharu, Lancer 2.0 GTE ini turut dilengkapi dengan bumbung matahari, sistem operasi tanpa kunci, ISOFIX dan beg udara untuk bahagian lutut pemandu bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan.
Pakej premium baharu itu bagi melengkapi elemen sedia ada seperti kit badan standard serba sporty, lampu pencahayaan siang (DRL), kekemasan dalaman dengan kulit combi, skrin paparan bersaiz 6.1 inci dengan fungsi audio dan kamera undur, lampu utama auto, sistem penghawa dingin auto, pedal penukar gear dan kawalan kelajuan (cruise control).
Lancer 2.0 GTE turut menawarkan rim aloi lapan bilah serba sporty bersaiz 18 inci yang membaluti tayar Yokohama Advan Sport 215/45 R18.
Bahagian mekanikalnya masih sama dengan model Lancer GT terdahulu iaitu menggunakan enjin 2.0 liter MIVEC. Ia mampu menghamburkan kuasa maksimum 150 PS dan tork 197 Nm.
Bagi aspek keselamatan pula, Lancer GTE turut dilengkapi dengan beg udara berkembar SRS, beg udara bahagian lutut pemandu, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), pengehad bebanan tali pinggang keledar, dengan kerangka RISE (Reinforced Impact Safety Evolution) yang mampu memberikan pelindungan bersepadu pada penumpang.
Model ini didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu White Solid, Black Mica dan Red Metallic. Ditawarkan pada harga RM115,590.20 (tanpa insurans), Lancer GTE ini adalah model CBU sepenuhnya yang dibawa masuk dari Jepun. Setiap pembelian didatangkan dengan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun.