Ford Mustang edisi ulang tahun ke-50
Selamat ulang tahun ke-50 wahai si hensem Ford Mustang!
Sempena dengan sambutan lima dekadnya, Ford bakal memproduksikan model ‘Edisi Terhad 50 Tahun’ yang hanya melibatkan pengeluaran sebanyak 1,964 unit sahaja. Ia diproduksi berdasarkan 2015MY Mustang GT yang dilengkapi dengan Pek Prestasi. Di mana para pelanggan bakal menerima pilihan kerangka berwarna Wimbledon White atau Kona Blue.
Bukan setakat warna kerangka, pelanggan juga boleh memilih sama ada mahu transmisi manual enam kelajuan atau pun automatik juga dengan enam kelajuan.
Bagi transmisi automatik, Ford Mustang Edisi Terhad 50 Tahun ini turut dilengkapi dengan Torsen limited-slip differential untuk nisbah pemanduan 3:55:1.
Ford Mustang Edisi Terhad 50 Tahun dijanakan oleh enjin 5.0 liter V8 yang mampu ‘memuntahkan’ kuasa sehingga 420 hp dan tork 528 Nm.
Imej luarannya yang serba agresif dan hensem ini turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci yang membaluti tayar prestasi tinggi Pirelli P Zero dan kuasa perberhentian pula dioperasikan oleh sistem brek Brembo.
Manakala bagi bahagian kabinnya, Mustang ini diperkemaskan dengan tempat duduk balutan kulit dua tona iaitu cashmere dan hitam serta tertera logo ‘Mustang 50 Year’ pada tempat duduk belakang.
Ford Mustang Edisi Terhad 50 Tahun dipertontonkan di New York Auto Show pada hari ini dan dijadual bakal berada di pasaran pada musim luruh akan datang.