BMW 220i Coupé serba baharu dilancarkan – Harga bermula RM260k
Diiringi dengan hujan yang agak lebat membasahi kota metropolitan Kuala Lumpur petang tadi,BMW Group Malaysia telah pun memperkenalkan BMW 220i Coupé pada acara BMW Malaysian Open 2014 yang sedang berlangsung di Kelab Golf DiRaja Selangor.
Kehadiran BMW 220i Coupé serba baharu ini dilihat sebagai pengganti kepada model BMW 1 Siri Coupe yang menawarkan kenderaan yang lebih besar, berkuasa dan lincah, bersama penampilan yang lebih mantap dan sporty berbanding model sebelumnya.
Apa yang menarik pada model BMW 220i Coupé?
BMW menegaskan bahawa penampilan jentera dua pintu ini jauh lebih sporty dengan angka yang lebih mengagumkan dengan rekaan badan yang tersendiri, enjin berkuasa dan teknologi chasis yang telah dikonfigurasi secara khas.
Malah ia juga berbeza dengan model sebelum ini serta memiliki karekter tersendiri, bersama tarikan estetik dan penampilan premium yang diserlahkan melalui nama “2”. Perbezaan dapat dilihat dengan jelas pada rekaan Coupé baharu ini kerana ia memberikan penampilan pengalaman pemanduan yang sangat sporty.
Jentera ini berukuran 4,432mm panjang, selebar 1,774mm, tapak roda 2,690mm dan trek lebih luas dengan bahagian hadapan 1,521 mm serta 1,556mm di belakang.
Siluet sporty BMW 220i Coupé serba baharu dapat dilihat dengan jelas pada bonetnya yang panjang, overhang pendek, kabin yang terentang ke belakang dan tingkap lebih kecil menyerlahkan lagi penampilan coupé yang sporty.
Bukan itu sahaja, garis bumbung coupé yang kelihatan lebih ‘laju’ dan tiang C lebih kecil bersama pintalan BMW Hofmeister merupakan antara karekteristik baharu coupé kompak ini. Untuk menonjolkan ciri dinamik, lampu belakang berbentuk L digabungkan bersama butiran lampu LED yang lebar.
Berbicara daripada sudut prestasi, ia dijana oleh enjin petrol 2.0 liter empat silinder dan dikuasakan oleh teknologi BMW TwinPower Turbo. Jentera coupé kompak baharu ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 184 hp dengan tork puncak 270Nm.
Ia juga mampu memecut daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam masa 7.0 saat dan kelajuan maksimumnya adalah 230km/j. Angka ini digabungkan dengan purata penggunaan bahan api sekitar 6.0liter bagi setiap 100km dan kadar pelepasan emisi 139g/km.
Tidak lengkap dengan itu, ia juga dipadankan dengan transmisi automatik sport yang sesuai untuk para pelanggan yang mahukan gaya pemanduan lebih dinamik. Dengan pedal penukar gear pada stereng dan fungsi Launch Control, pemandu boleh mengoptimumkan cengkaman ketika memecut kerana Coupé kompak premium ini menawarkan prestasi dinamik yang maksimum.
Selain daripada itu, BMW 220i Coupé ini turut ditampilkan dengan BMW EfficientDynamics bagi penjimatan bahan api yang lebih efisien dan fungsi Auto Start-Stop yang apabila digabungkan dengan transmisi automatik, ia mampu meningkatkan kecekapan BMW 220i Coupé serba baharu.
Untuk gaya pemanduan yang lebih menjimatkan, Coupé kompak ini juga menawarkan pemandu dengan kemampuan untuk mengubahsuai keseluruhan karekter kereta agar lebih menjimatkan petrol menerusi mod ECO PRO sebagai ciri standard yang boleh diaktifkan melalui butang Driving Experience Control.
Keseronokan pemanduan yang tiada bandingan juga ditingkatkan melalui suspensi hadapan jenis topang pegas gegelung double-joint dan suspensi belakang lima sambungan yang ditala khas.
Malah penggunaan stereng kuasa elektromekanikal dan sistem brek berkuasa memberikan pengendalian yang mengagumkan di selekoh dan kestabilan terbaik di laluan lurus.
Untuk meningkatkan lagi kelincahannya, para pelanggan BMW diberi opsyen memasang suspensi M sport pada BMW 220i Coupé serba baharu mereka. Rangkaian peralatan untuk tujuan ubah suai jentera ini termasuklah rim aloi ringan dengan jejari Star-spoke bersaiz 17 inci dan kemasan luar berwarna hitam berkilat (High Gloss Black).
Bagi rekaan dalaman, ia mengetengahkan aspek ergonomik yang klasik. Di mana bahagian kokpit turut direka dengan penuh sporty. Fungsi Kemasukan Mudah pada tempat duduk hadapan memudahkan akses ke kerusi belakang yang kini menawarkan ruang kaki lebih luas.
Kabin ini cukup luas dan menawarkan versatiliti unik dengan tempat duduk belakang boleh dilipat mengikut konfigurasi 60/40. Tahap kefungsian BMW 220i Coupé ditambah apabila ia menawarkan ruang penyimpanan barang yang luas pada bahagian pintu, selain dua ruang meletak minuman yang diletakkan di bahagian hadapan tuil gear.
Ia turut menampilkan papan pemuka yang dilengkapi stereng kulit dan kemasan dalaman Satin Silver berkilat. Tempat duduk sport dan lapisan bumbung dipadankan dengan upholsteri Sensatec bagi meningkatkan lagi estetika sporty Coupé serba baharu ini.
Cermin dalam dan luar hadir bersama ciri anti silau untuk meningkatkan kualiti pandangan jalan raya. BMW 220i Coupé serba baharu mempunyai papan pemuka yang menggunakan stereng dibalut kulit, pedal penukar gear dan kawalan kelajuan dengan fungsi membrek. Penampilan sporty ditingkatkan lagi dengan kemasan dalaman berwarna hitam berkilat dan merah (Coral Red).
Untuk kepelbagaian fungsi, BMW 220i Coupé ini turut membawakan rangkaian ekstensif perkhidmatan mobiliti dan sistem bantuan pemanduan daripada BMW ConnectedDrive. Ini termasuklah BMW Radio Professional dengan monitor paparan bersaiz 6.5 inci, serta sambungan Bluetooth, USB dan sistem bunyi HiFi.
BMW 220i Coupé serba baharu didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), biru (Midnight Blue) dan kelabu (Mineral Grey). Sementara BMW 220i Coupé Sport pula ditawarkan dengan warna perak (Glacier Silver), merah (Melbourne Red) dan oren (Valencia Orange). Dan kedua-dua varian juga turut tampil dengan warna putih (Alpine White).
Harga bagi BMW 220i Coupé ialah RM 259,800.00 dan jika pelanggan ini menambah Sport Line Package, bayaran tambahan sebanyak RM 20,000.00 bakal dicaj.