Honda City 2014 pecah rekod! – Mencatat jualan 10k unit sejak dilancarkan
Seperti yang dijangka, model baharu Honda City ini pasti meledak ibarat ‘goreng pisang panas’ apabila ia sudah mencatatkan tempahan sebanyak 10,000 unit sejak dilancarkan 20 Mac yang lalu.
Jumlah tempahan ini mengatasi rekod terdahulu yang dicatatkan oleh CR-V baharu yang dilancarkan pada tahun lalu iaitu sebanyak 3,000 unit sebulan.
Berikutan dengan permintaan yang sangat memberangsangkan itu, Honda Malaysia sedang berusaha untuk menghantar kesemua tempahan itu kepada para pelanggan selewat-lewatnya akhir Jun ini.
Malah pembukaan kilang operasi No.2 Line di Pegoh, Melaka, turut mempertingkatkan kapasiti pengeluaran bagi City serba baharu ini bagi memenuhi permintaan pasaran serta memastikan para pelanggan tidak menunggu terlalu lama untuk mendapatkan kereta yang ditempah ini.
Generasi ke-empat Honda City ini yang mendapat sambutan positif di kalangan rakyat Malaysia telah menampilkan pelbagai ciri tambahan termasuk menawarkan ruang kabin serta kargo yang lebih luas. Malah ia juga dilengkapi dengan elemen keselamatan yang dipertingkatkan termasuklah enam beg udara, VSA dan ISOFIX.
Ia juga tampil dengan elemen tambahan seperti sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, panel sesentuh bagi penghawa dingin, penghawa dingin belakang, skrin paparan bagi audio bersaiz tujuh inci dan lapan pembesar suara.
Malah ia turut menawarkan penjimatan bahan api yang efisien dan praktikal.
Harga atas jalan berserta insurans yang ditawarkan ialah RM75,800 (varian S), RM78,800 (S+), RM83,800 (E) dan RM90,800 (V). Setiap pembelian akan disertakan dengan waranti selama lima tahun dengan pembatuan tanpa had dan penyelenggaraan berselang seli sehingga 10,000km.
Honda Malaysia mensasarkan jualan tahunan sebanyak 76,000 unit bagi model baharu ini. Malah turut komited untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan efisien bagi memenuhi kepuasan pelanggan.
1 Comment