Hyundai buka pusat 3S di Kota Kinabalu
Hyundai baru sahaja membuka pusat 3S di Kota Kinabalu, Sabah, bagi memberi peluang kepada para pelanggan mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan, jualan dan alat ganti. Dioperasikan oleh Sime Darby Auto Hyundai (SDAH), ia merupakan pusat 3S Hyundai yang ke-sembilan dan terbaharu di Malaysia.
Pusat 3S paling besar di Timur Malaysia yang berkeluasan 61,500 kaki persegi ini yang dibina dengan kos RM4.5 juta ini mampu memberikan perkhidmatan kepada 1,500 pelanggan Hyundai di sekitar Sabah. Ia merangkumi bilik pameran, enam ruang penyelenggaraan yang bakal ditambah pada 10 kelak, lounge pelanggan dengan perkhidmatan WiFi serta pusat menjual alat ganti.
Selain itu, pusat 3S ini turut menawarkan Quick Service, perkhidmatan shuttle, pemeriksaan percuma dengan 20 mata ganjaran dan perkhidmatan mencuci kenderaan. Pusat 3S ini terletak di Lot 7, Jalan Limau Manis, Off Jalan Lintas, Kolombong, Kota Kinabalu.
Menurut Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), Lau Yit Mun, pembukaan pusat 3S ini sebagai memenuhi permintaan para pelanggan Hyundai di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu. Di mana jenama Hyundai semakin berkembang di sana terutamanya permintaan ke atas model SUV seperti Tucson dan Sante Fe. Buat setakat ini terdapat 2,677 buah kenderaan Hyundai yang berdaftar di negeri Bawah Bayu ini.
Sempena dengan pelancaran pusat 3S ini, SDAH turut berbesar hati menyampaikan cek bernilai RM5,000 kepada SJK (C ) Chung Hwa, Kota Kinabalu, sebagai salah satu usaha dalam melaksanakan tanggung jawab sosial kepada masyarakat. Sumbangan tersebut bagi membantu mengekalkan fasiliti di sekolah terbabit.