Honda Accord 2.0L versi 2013 cukup berdinamik
Setelah ‘selamat mendarat’ di pasaran Malaysia pada 4 September yang lalu, sehingga kini lebih lapan ribu unit model Honda Accord serba baharu telah pun ditempah. Accord generasi ke sembilan ini dikatakan pencabar paling sengit untuk segmen-D (bagi kenderaan sedan) dalam pasaran tempatan dengan pesaing terdekatnya ialah Toyota Camry dan Nissan Teana.
Kaya dengan gaya inovasi yang diperhalusi dengan pelbagai elemen termaju, Accord baharu ini turut memukau dengan imej mewah dan lebih elegan. Dengan nadi Accord iaitu ‘Honda DNA’, model baharu ini dilihat sebagai sebuah ciptaan yang terbaik di dalam kelasnya, menampilkan keselesaan dan kesenyapan demi memuaskan hati pemiliknya.
Ia turut diberi penekanan mengenai penjimatan bahan api, keseronokan pemanduan, material yang berkualiti dan ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan. Hadir dengan tiga varian iaitu 2.0VTi, 2.0VTi-L dan varian tertinggi 2.4VTi-L yang dikuasakan oleh enjin Earth Dreams Technology, ketiga-tiganya merupakan unit pemasangan tempatan (CKD).
Untuk mengetahui sejauh mana kehebatan jentera ini, InfoKereta.com memenuhi undangan Honda untuk menyertai sesi pandu uji Accord dari bandar Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Diberi varian 2.0L dan memandunya secara bergilir-gilir dengan dua orang rakan media, ternyata prestasi yang ditonjolkan oleh jentera ini tetap memuaskan.
Walau bagaimana pun, kami tetap diberi peluang mencuba varian 2.4L sewaktu menyertai beberapa ujian pemanduan seperti slalom, ujian LaneWatch, ujian Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan juga Reverse J-Turn di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Namun untuk artikel ini, InfoKereta.com memfokuskan pada pemanduan varian 2.0L dan giliran untuk 2.4L akan dikongsikan kemudian.
Mencuba varian 2.0 VTi dan 2.0 VTi-L, daripada sudut prestasi dan pengendaliannya memang tiada sebarang perbezaan. Kedua-duanya dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder, 16-injap, SOHC i-VTEC yang mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 153hp pada 6,500rpm dengan tujahan tork 190Nm pada 4,300rpm.
Walau pun tidak sehebat varian 2.4 liter yang menampilkan enjin dengan Earth Dreams Technology yang pastinya lebih berkuasa, namun prestasi model 2.0 liter tetap tidak menghampakan. Terjahan kuasanya masih boleh dirasai apatah lagi apabila pedal minyak dikerah secara maksimum dan memberikan daya pecutan yang agak memberangsangkan.
Walau bagaimana pun, sekiranya ‘jantung utama’ jentera ini dikerah secara paksaan untuk mendapatkan kelajuan yang lebih maksimum, kedengaran sedikit bunyi enjinnya meresapi ruang kabin. Namun jika melalui jalan berbukit, daya pecutannya sedikit kurang memuaskan biar pun pedal minyak sudah ditekan sehabis mungkin. Namun ia bukanlah alasan untuk terus menikmati pemanduan yang menyenangkan.
Boleh dikatakan sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, saya bersama rakan media yang bergerak secara konvoi ‘gigih’ mengejar Lead Car yang hanya memandu Honda Civic 1.8 liter dengan kelajuan antara 180 hingga 200 kilometer sejam (km/j). Dengan merentasi pelbagai corak permukaan jalan dengan melalui jalan utama dan Lebuh Raya Pantai Timur, Accord ini memang dilenjan sepuasnya dan ternyata ia memberikan pengalaman yang memuaskan sepanjang pandu uji.
Tanpa mengubah kotak gear seperti mana generasi sebelumnya iaitu transmisi automatik lima kelajuan kawalan elektronik dengan Shift Hold Control, ia sudah mencukupi bagi Accord baharu ini. Pertukaran gear lancar tanpa rasa sentakan. Ia memberikan respons yang sangat baik apatah lagi jika ingin menambahkan kuasa kelajuan. Jika 2.4 liter disertakan dengan pedal pemboleh ubah di belakang stereng untuk menukar gear dengan mod manual, sayangnya ia tidak ditampilkan pada varian 2.0 liter. Pastinya Honda memiliki alasan tersendiri mengapa ia tidak disertakan biar pun untuk varian 2.0VTi-L.
Walau bagaimana pun, paling membuatkan saya cukup teruja dengan model ini ialah pengendaliannya amat mengagumkan. Ia seakan akrab dengan pemandu, memahami rentak kemahuan gaya pemanduan yang diingini. Ini antara alasan utama mengapa Accord wajar dijadikan pilihan jika anda mencari sebuah kenderaan sedan daripada segmen-D.
Dengan pemanduan penuh dinamik dan sporty, ternyata Accord memang seronok dipandu walau pun secara agresif. Daripada sudut pengendaliannya, ia memang tahan lasak. Accord 2.0L ini masih gigih dipacu dalam kelajuan yang tinggi dengan keadaan jalan yang agak mencabar termasuk ketika melalui selekoh tajam dan jalan berliku.
Stereng berkuasa elektronik sangat responsif dengan kerjasama pedal minyak dan pedal brek. Biar pun sterengnya terasa sedikit ringan, namun pengendaliannya di laluan selekoh masih mantap dan meyakinkan. Ini pastinya dengan bantuan sistem suspensi yang menggunakan topang MacPherson di bahagian hadapan yang lebih ringan iaitu 15.2 kilogram berbanding generasi sebelum ini.
Menurut Honda, sebab utama suspensi MacPherson digunakan adalah bagi menggantikan Double Wishbone Suspension untuk mengurangkan berat dan getaran ketika pemanduan. Juga menampilkan Independent Multi Link berserta penstabilan pada bahagian belakang yang turut membantu jentera ini lebih stabil terutamanya jika melalui jalan berliku, beralun dan kurang rata.
Selain daripada faktor prestasi dan pengendalian yang boleh dijadikan daya tarikan bagi Accord ini, rekaan luaran juga agak berbeza dengan generasi sebelum ini. Ia tampil lebih segar, penuh maskulin, tampak mewah dan mempunyai sedikit sentuhan sporty. Lampu utama yang lebih garang cukup menyerlahkan rekaan luaran model ini.
Ditambah pula dengan rekaan bahagian gril pada bampar hadapan yang telah dipertingkatkan juga dengan penampilan lampu kabus yang tampak sedikit series. Namun rekaan di bahagian belakang tidak banyak bezanya dengan generasi terdahulu kecuali penggunaan lampu LED Rear Combi yang berbentuk lebih aerodinamik bagi memberikan pandangan yang lebih jitu buat pemandu di belakang.
Memasuki ruang kabin, ternyata rekaan dan kekemasan dalamannya telah dipertingkatkan. Malah masih mengekalkan gaya mewah seperti mana rekaan luarannya. Papan pemuka Accord ini tidak begitu fancy dan tampil dengan skrin bertingkat iaitu skrin multi-informasi (i-MID) bersaiz lapan inci untuk paparan kamera undur di bahagian atas dan juga skrin sentuhan bagi sistem audio di bahagian bawah untuk pemandu dan para penumpang menikmati hiburan yang memuaskan sepanjang perjalanan.
Manakala segala butang kawalan mudah dicapai dan dikendalikan. Begitu juga dengan butang kawalan sistem audio pada bahagian stereng yang begitu memudahkan pemandu untuk menggunakannya sepanjang pemanduan.
Kedua-dua varian 2.0 liter ini turut tampil dengan ECO Assist Guide iaitu untuk mengenal pasti tahap kecekapan pemanduan yang lebih bersifat mesra alam dan butang ECON Mode turut ditampilkan bagi pemandu menikmati pemanduan yang lebih lancar dengan meningkatkan kadar penjimatan bahan api yang efisien.
Terdapat juga elemen tambahan bagi varian 2.0 VTi-L, di mana ia turut menampilkan lapan penyelarasan secara elektronik bagi tempat duduk pemandu, pelindung cermin sisi, sistem navigasi, sambungan bluetooth bebas tangan bagi penggunaan telefon bimbit, penggunaan bluetooth bagi audio, penyelarasan zon berkembar pintar bagi kawalan penghawa dingin, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin.
Pemilihan material kulit bagi varian 2.0 VTi-L memang cukup memuaskan hati, ia seakan ‘memeluk erat tubuh pemandu dan terasa begitu selesa. Namun bagi varian 2.0 VTi, material fabrik membaluti tempat duduk dan sayangnya ia sedikit keras dan tidak begitu selesa terutamanya jika melibatkan perjalanan jauh.
Elemen yang cukup memuaskan hati bagi kabin Accord ini pula ialah keselesaan yang cukup optimum ketika berada di dalamnya kerana ia memiliki ruang yang agak luas termasuklah di bahagian tempat duduk belakang. Walau pun bagi generasi ini, bentuknya lebih kecil apabila panjangnya dipendekkan sehingga 0.075 miter dan ketinggiannya dikurangkan kepada 0.010 meter, namun pastinya Honda mahu memberikan keselesaan yang jitu buat pemandu dan penumpang dengan memberikan ruang yang lebih optimum. Ini termasuklah ruang kaki di bahagian tempat duduk belakang diluaskan sehingga 0.035 meter turut memberikan keselesaan yang begitu memuaskan.
Selain daripada itu, kedapan bunyi dalam ruang kabin juga dipertingkatkan dengan penerapan teknologi terbaharu iaitu Kawalan Aktif Kebisingan (ANC) dan Kawalan Aktif Bunyi (ASC) bagi memberikan ketenangan sepanjang perjalanan.
Biar pun menggunakan enjin yang sama seperti mana generasi terdahulu, namun kejuruteraan Honda telah mempertingkat talaan Unit Kawalan Elektronik (ECU) sekali gus memberikan tahap penjimatan bahan api yang lebih efisien. Di mana ia telah membantu menjimatkan bahan api lebih 10 peratus berbanding generasi terdahulu dengan kadar penggunaan 7.4 liter bagi setiap 100 kilometer.
Honda juga tidak mahu terlepas pandang mengenai soal keselamatan dengan menampilkan beberapa ciri yang diperlukan bagi varian 2.0 liter iaitu beg udara berkembar di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelahnya, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Hill Start Assist (HSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Isyarat Pemberhentian Kecemasan, ISOFIX dan tali pinggang tiga-poin bagi tempat duduk penumpang belakang.
Secara keseluruhannya, Honda berjaya mengubah pandangan luaran dan dalaman Accord yang dahulunya lebih dikenali sebagai ‘kenderaan untuk golongan senior’ dengan ‘memudakan’ imejnya supaya tampak lebih segar. Dan walau pun tampil dengan enjin yang sama, namun prestasi dan pengendalian Accord ini memang wajar diberi pujian kerana ia antara terbaik berbanding model persaingnya.
Ditawarkan pada harga atas jalan (beserta insurans) RM139,800 untuk varian 2.0L VTi dan RM149,800 (2.0L VTi-L), Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun bersama jarak perbatuan tanpa had serta selang servis 10,000km bagi menawarkan pengalaman pemilikan terbaik kepada semua pemilik Accord serba baharu.
Spesifikasi :-
Enjin : 2.0L 4-silinder 16-injap, SOHC i-VTEC
Kuasa maksimum : 153hp @ 6,500rpm
Tork maksimum : 190Nm @ 4,300rpm
Transmisi : Kawalan elektronik automatik 5-kelajuan dengan Shift Hold Control
Sistem brek : Ventilated Disc (hadapan) & Solid Disc (belakang)
Tayar : 225/50R17
Kapasiti tangki bahan api : 65 liter
Pilihan warna : Modern Steel Metallic, Champagne Frost Pearl, Crystal Black Pearl,Taffeta White & Alabaster Silver Metallic