Fiat 500 Sport selamat meluncur di Indonesia
Merancakkan lagi industri automotif di tanah seberang, PT Gransindo Inter Global (GIG) iaitu pengedar rasmi jenama Fiat di Indonesia, telah pun melancarkan model Fiat 500 Sport untuk pasaran negara tersebut. Kehadiran 500 Sport ini melengkapi varian Fiat di Indonesia selepas model 500 dan 500 C diperkenalkan.
Tampil dengan rekaan yang agresif, 500 Sport dilihat sebagai pilihan paling bersesuaian untuk golongan muda yang gemarkan sebuah kenderaan yang memiliki aura sporty.
Menggunakan enjin 1.4 liter empat sebaris, ia boleh menghasilkan kuasa 101 hp dan tork puncak 131 Nm. Penggunaan bahan apinya juga dikatakan efisien iaitu 12km untuk setiap liter bagi pemanduan di bandar dan 14km per liter untuk luar bandar.
Fiat 500 Sport dijual pada harga tanpa insurans dan cukap jalan sebanyak Rp 365 juta (RM103,126).