Renault bakal tampil dengan edisi istimewa Helly Hansen-Captur
Renault telah pun menjalinkan usaha sama dengan Helly Hansen bagi menghasilkan model edisi istimewa Captur dengan sistem Extended Grip. Helly Hansen merupakan jenama pakaian sukan dan riadah terkemuka, menjadi pilihan Renault untuk menghasilkan model Captur yang bakal tampil dengan Extended Grip iaitu sistem yang mengoptimakan prestasi cengkaman dalam apa jua keadaan jalan.
Model edisi istimewa ini boleh ditempah dengan pilihan warna eksklusif Flamme Red dan ia juga boleh melatari ruang dalaman kabin. Selain itu, Captur juga boleh dilatari warna Platine Grey pada bahagian hadapan dan belakang serta dipadankan dengan rim aloi bersaiz 17 inci dengan efek kilauan belian berwarna hitam.
Bukan itu sahaja, Captur turut menawarkan pilihan warna daripada dua tona berbeza iaitu Flamme Red dengan bumbung hitam atau kuning gading, Etoile Black dengan bumbung kuning gading, Cassiopee Grey bersama bumbung hitam dan juga kerangka berwarna kuning gading yang dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.
Renault Captur ini juga dilengkapi dengan pakej standard iaitu peranti multimedia R-Link bersama skrin paparan sesentuh, tempat duduk balutan kulit upholstery, kekemasan jaluran berwarna merah pada papan pemuka, motif gentian karbon pada roda stereng, pemegang pintu krom dan juga karpet lantai pada bahagian tempat duduk hadapan.
Model edisi istimewa ini yang turut dilengkapi dengan sistem Extended Grip seperti mana yang pernah tampil buat pertama kali pada model Renault Scenic X-Mod yang diperkenalkan pada tahun 2013.
Di mana teknologi ini direka bagi mengoptimakan cengkaman bagi keadaan jalan yang sukar seperti di jalan yang berlumpur, berlopak, salji dan sebagainya.
Terdapat alat kawalan yang terletak pada bahagian konsol tengah yang membolehkan pemandu memilih mod yang bersesuaian dengan keadaan jalan. Terdapat tiga mod yang ditampilkan iaitu ‘Road’ yang bersesuaian dengan permukaan jalan yang kering, basah dan berais.
Mod ‘Loose Ground’ pula untuk membenarkan sistem Extended Grip ini mengawal roda kenderaan. Di mana kuasa kilasan enjin dan brek akan dikendalikan secara automatik untuk memberikan kuasa yang lebih pada tayar hadapan. Ia juga ‘membantu’ tayar dibersihkan daripada pasir atau lumpur yang melekat secara lebih efektif dan memberikan kuasa cengkaman yang lebih padu.
Manakala mod ‘Expert’ membenarkan pemandu mengawal kilasan enjin pada kuasa pendikit dan mengoptimakan sistem brek.
Sistem Extended Grip juga secara automatiknya akan menukar mod ‘Road’ pada ‘Loose Ground’ atau ‘Expert’ pada kelajuan 40km/j jika melibatkan permukaan jalan yang tertentu.
Selain daripada itu, aspek keselamatan yang turut diterapkan pada model ini ialah ABS, ESC, EBA dan Hill Start Assist.
Berkenaan dengan ‘jantung’ yang bakal menggerakkan SUV crossover ini, kemungkinan besar enjinnya sama seperti model Renault Captur Energy TCe90 dan TCe120 yang bakal dipadankan dengan transmisi automatik EDC. Dan jika menggunakan enjin yang sama seperti model Energy dCi90 pula, ia mungkin dipadankan dengan kotak gear manual atau transmisi automatik EDC.
Dijangka bakal berada di pasaran Eropah pada Jun ini, dan seterusnya bakal dilancarkan di Perancis, Netherland, Belgium dan Sepanyol pada September ini.