Honda S660 bakal di pasaran Nippon tahun hadapan
Pernah dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2013 atas nama Honda S660 Concept, dengar cerita Honda sudah pun merancang untuk memproduksikan model ini tidak lama lagi. Ia dirancang bakal diproduksi di kilang Yokkaichi yang dimiliki oleh Yachiyo Industry Co.,Ltd, yang pernah memiliki kontrak pemasangan kenderaan bersaiz kecil Honda.
Honda S660 model produksi ini kelihatan lebih kurang seakan kenderaan konsep EV-STER yang dijanakan oleh kuasa elektrik yang pernah ditayangkan di Tokyo Motor Show 2011. Ia direka sebagai sebuah jentera sport dua tempat duduk yang sesuai diletakkan di bawah kategori kenderaan ‘Kei Car’. Walau bagaimana pun, kabin bagi S660 ini lebih ringkas berbanding dengan rekaan dalaman yang ditayangkan di Tokyo pada tahun lalu.
Berkenaan dengan penjana kuasanya, semasa dalam peringkat konsep atau prototaip, ia menggunakan enjin motor 660cc yang hanya mampu menghasilkan 64 hp dan tork 77 ft-lb untuk memenuhi syarat memasuki kategori ‘Kei Car’.
Namun pemerhati industri automotif di Jepun berpendapat, jika model ini dirancang untuk dipasarkan di luar negara tersebut terutamannya di US, ia mungkin bakal dihasilkan dalam varian yang lain iaitu sekurang-kurangnya menggunakan penjana kuasa pengecas turbo 1.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa 127 hp.
Model ini dijangka bakal mula diedarkan di Jepun pada awal tahun hadapan. Tetapi buat jangka masa terdekat, Honda belum merancang untuk memasarkannya di luar negara matahari terbit itu.