Hyundai Motor buka bilik pameran perdana di Seoul
Hyundai Motor Company, jenama terunggul bagi pengeluar kenderaan dari Korea Selatan ini baru saja membuka bilik pameran perdana pertamanya di negara tersebut yang diberi nama Hyundai Motorstudio.
Terletak di Gangnam iaitu antara daerah yang paling sibuk di Seoul, Hyundai Motorstudio turut menampilkan gabungan antara budaya dan bilik pameran yang pastinya mampu memberikan pengalaman bermakna buat para pengunjung. Malah juga dengan objektif mahu menyampaikan arah tujuan dan aspirasi Hyundai kepada para pelanggannya.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Hyundai Motor, Won-Hong Cho, setiap sudut di Hyundai Motorstudio direka untuk mewujudkan sinergi membentuk jenama ini dengan budaya yang tersendiri. Ia bukan setakat bilik pameran, malah juga boleh dianggap sebagai muzium serta galeri Hyundai.
Hyundai Motorstudio tampil bukan setakat berkenaal dengan model kenderaannya, malah turut memberi pendedahan mengenai aspek kejuruteraan dan peralatan yang digunakan di dalam membangunkan produknya. Bermula dengan peringkat pertama produksi sehinggalah menjadi sebuah model yang telah siap disempurnakan. Antara model yang dipamerkan sudah tentu Genesis serba baharu yang mampu menarik perhatian para pengunjung.
Bilik pameran perdana setinggi lima tingkat ini turut meliputi perpustakaan auto, ruang bagi kanak-kanak, ruang istirehat pelanggan, galeri dan kafe. Staf terlatih dan kurator bertauliah akan membantu setiap pelanggan yang hadir dengan memberikan taklimat dan bantuan yang berkaitan.
Hyundai Motorstudio ini turut dijangka bakal menjadi salah satu mercu tanda di Korea Selatan.
Difahamkan, Hyundai Motor juga bakal memperluaskan bilik pameran perdana di serata global dan akan dimulakan dengan pembukaannya di Moscow pada pertengahan tahun ini.