Datsun GO+ Panca MPV mampu milik telah dilancarkan di Indonesia
Beberapa hari lalu, Nissan telah melancarkan Datsun GO+ Panca di Indonesia dan ia merupakan model pertama Datsun bagi pasaran negara berkenaan. Ia hadir dengan tiga varian dan ditawarkan dengan harga yang cukup murah iaitu bermula 85 juta rupiah (RM23,885) hingga 103 juta rupiah (RM28,950) untuk varian tertinggi. MPV 5+2 tempat duduk ini juga ditetapkan di bawah program Low Cost Green Car (LCGC) yang dijadualkan bermula Jun ini.
Datsun GO+ Panca dijanakan oleh enjin 1.2 liter yang mampu memberikan kuasa maksimum 68 hp, turut dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan.
Dalam majlis pelancaran Datsun GO+ Panca ini, Nissan turut mengumumkan bahawa Datsun bakal digelar Datsun Nusantara bagi pasaran Indonesia. Manakala maksud “Go” dalam bahasa Jepun ialah “lima”, iaitu sama maksud dengan “Panca” yang dipetik daripada bahasa Indonesia. Manakala simbol “+” pula menggambarkan ruangan ekstra pada barisan ketiga yang boleh dijadikan tempat duduk bagi penumpang atau pun ruangan tambahan bagi kargo.