Volkswagen Golf Sportwagen bakal berada di pasaran US tahun hadapan
Volkswagen telah merancang untuk memproduksikan model Golf Sportwagen di Amerika Syarikat (US) dan memasarkannya pada tahun hadapan. Semasa dalam peringkat pengenalan, ia dikenali sebagai model konsep Golf Sportwagen dan memiliki saiz 1.1 inci lebih panjang dan 0.7 inci lebih lebar berbanding dengan model Jetta Sportwagen.
Antara elemen yang bakal ditampilkan pada Golf Sportwagen ini ialah ia bakal dipadankan dengan lampu utama Bi-Xenon, kawalan jarak parkir, dan rim aloi bersaiz 18 inci. Malah model ini juga bakal menawarkan bumbung panoramik dan sistem kawalan penghawa dingin automatik.
Golf Sportwagen juga bakal didatangkan dengan dua varian enjin yang berbeza. Di mana varian enjin petrol 1.8 liter pengecas turbo mampu memberikan kuasa maksimum 170 hp dan tork 270 Nm. Malah ia juga dipadankan dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik enam kelajuan.
Manakala enjin diesel 2.0 liter pengecas turbo pula berkeupayaan menghamburkan kuasa maksimum 150 hp dan tork 319 Nm. Ia bakal hadir dengan dua pilihan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau kotak gear DSG.