Hyundai Santa Fe R 2.2 CRDI mantap!
Sebelum ini, InfoKereta.com telah pun memandu uji SUV dari Korea Selatan, Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI. Kini tibalah pula giliran ‘adik kembarnya’ yang berenjin diesel R 2.2 CRDI untuk diulas sejauh mana keistimewaan dan prestasinya.
Pastinya ramai yang beranggapan bahawa enjin petrol 2.4L lebih berkuasa berbanding diesel 2.2L. Ya, tidak dinafikan kenyataan ini. Namun jangan disangka bahawa enjin diesel 2.2L untuk Hyundai Santa Fe ini kurang kuasa prestasinya. Ia mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 197PS pada 3,800rpm dan tujahan tork sehingga 436Nm pada 1,800 hingga 2,500rpm. Ini bermakna kuasa yang dihamburkan oleh enjin diesel 2.2L generasi ketiga ini boleh dikatakan lebih hebat berbanding dengan enjin petrol 2.4L (176PS@6,000rpm & 227Nm@3,750rpm).
Sama seperti varian Theta II 2.4L MPI, R 2.2 CRDI turut menggunakan sistem pacuan empat roda Active On-demand 4WD yang membantu melancarkan lagi pergerakan jentera ini. Dengan transmisi automatik enam kelajuan, ia mampu dipacu lancar mengikut cara pengendalian dan corak pemanduan.Ia turut dipadankan dengan suspensi McPherson Strut untuk bahagian hadapan dan Multi-link Type di belakang, bagi memberikan kestabilan yang lebih optimum terhadap jentera.
Ternyata sistem suspensi yang dipilih ini bertepatan kerana jentera masih stabil ketika memandu di jalan yang berselekoh biar pun dalam kelajuan yang tinggi. Ia mampu mengurangkan risiko kebarangkalian berlakunya over steer atau pun under steer ketika mengendalikan Santa Fe ini dalam pemanduan yang agak agresif. Bukan itu saja, ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata atau pun beralun, kesan olengan badan jentera ini agak kurang dirasai. Malah penulis juga berasa enjoy mengendalikannya terutamanya ketika melayan jalan berselekoh dan berliku.
Bagi membuatkan pemanduan lebih selesa, Hyundai menerapkan sistem Stereng Berkuasa Elektrik (MDPS-Motor Driven Power Steering) yang ringan dan turut membantu mengurangkan gegaran ketika jentera dipacu. Malah turut menambahkan bonus di dalam penjimatan bahan api yang efisien.
Selain daripada itu, jentera ini turut dilengkapi dengan N.V.H (Noise, Vibration & Harshness) yang direka dengan teknologi terkini dan inovasi struktur kerangka yang lebih relevan. Ia membantu mengurangkan gegeran pada kenderaan terutamanya ketika dipacu melalui permukaan jalan yang kurang rata serta menyingkirkan bunyi yang tidak diperlukan daripada memasuki ruangan kabin.
Sama seperti varian Theta II 2.4 MPI, model ini turut menawarkan Flex Steer atau pun tiga mod bagi kawalan stereng yang berbeza iaitu Comfort, Sporty dan Normal. Di mana ketiga-tiganya memiliki kawalan yang sedikit berbeza dan ia turut dipengaruhi corak pemanduan. Pemandu hanya perlu memilih mana-mata butang kawalan yang terdapat pada roda stereng sama ada ketika jentera sedang bergerak atau pun berhenti. Di mana pemilihan butang kawalan tersebut akan mempengaruhi corak pemanduan dan lebih memudahkan pengendalian.
Tidak mahu ketinggalan di dalam menerapkan pelbagai elemen keselamatan, Santa Fe ini turut tampil dengan Program Kestabilan Elektronik (ESP), Kawalan Brek Menurun Bukit (DBC), Kawalan Bantuan Mendaki Bukit (HAC), Sistem Bantuan Brek (BAS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Pengurusan Kestabilan Kenderaan ( VSM), Sistem Bantuan Parkir Belakang, kamera undur dan juga beg udara berkembar.
Seperti mana barisan model terbaharu Hyundai, SUV ini turut dilengkapi dengan Alat Perakam Keselamatan Pemanduan iaitu kotak hitam atau kamera mini yang dipasang di sebalik cermin pandang belakang. Ia berkeupaya merekodkan imej rakaman video sepanjang perjalanan termasuklah suara dengan objektif boleh dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku sebarang insiden seperti kemalangan. Dan ia juga memudahkan pemilik kenderaan untuk membuat tuntutan insurans.
Berkenaan dengan reka bentuk luaran dan dalaman, ia sama seperti varian Theta II 2.4 MPI. Model yang dipandu uji ini daripada varian Executive Plus di mana kabin dalamannya tampak sungguh elegan dengan sedikit bancuhan elemen mewah. Tempat duduknya dibaluti material kulit Nappa berwarna coklat yang sungguh menyelesakan. Tempat duduk pemandu boleh dilaras sebanyak 12 cara mengikut keselesaan. Bagi hiburan, ia dilengkapi dengan empat pembesar suara dan dua tweeter dengan sistem audio yang turut menyokong format MP3. Selain turut dilengkapi dengan sambungan USB dan AUX. Rekaan di dalam kabin juga sama seperti model 2.4 MPI.
Juga tampil dengan gaya yang cukup elegan dan stylish, rekaan luaran jentera ini juga menarik pandangan mata. Seperti mana yang dikatakan pada perenggan sebelum ini, ia tetap sama seperti model 2.4, tiada perbezaan yang boleh diceritakan.
Ditawarkan pada harga RM189,888 yang dilengkapi dengan insurans dan cukai jalan, pastinya jentera ini menepati kepuasan dan keperluan yang diingin bagi sebuah SUV masa kini.
Spesifikasi :
Enjin : R 2.2 CRDI
Kuasa maksimum : 197PS @ 3,800rpm
Tork maksimum : 436NM @ 1,800-2,500rpm
Transmisi : Automatik 6-kelajuan
Kapasiti bahan api : 64 liter
Pilihan warna : Creamy White, Sleek Silver, Titanium Silver, Ocean View, Red Merlot & Phantom Black