Suzuki Kizashi 2.4L Sport…Irasshaimase! – Eksklusif untuk Malaysia
Kizashi yang bermaksud “sesuatu yang hebat telah tiba”…
Berita baik dari Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd (SMA) turut mengesahkan bahawa model Suzuki Kizashi 2.4L Sport Matte Black edisi terhad telah tiba secara eksklusif ke Malaysia.
Model sedan eksklusif ini tampil dengan sentuhan yang lebih sporty dan elegan dengan mengetengahkan profil Kizashi yang unik serta memiliki kelas yang tersendiri. Malah model ini dijangka bakal menyerlah di dalam kategori kenderaan di bawah segmen-D.
Kizashi 2.4L edisi terhad ini hanya memiliki satu pilihan warna kerangka yang kelihatan cukup menarik iaitu Matte Black dengan pertambahan beberapa karakter yang menyerlahkan lagi paras rupanya.
Tidak banyak perbezaan yang ditampilkan pada bahagian dalaman, masih seperti Kizashi model biasa, namun terdapat beberapa elemen tambahan, antaranya sistem audio 2-Din dengan skrin sesentuh, navigasi, kamera undur HD bersama mod malam dan sistem bunyi yang telah dipertingkatkan.
Menurut Pengarah Urusan SMA, Keiici Suzuki, model edisi terhad ini eksklusif hanya untuk pasaran Malaysia sahaja. Malah SMA yakin model ini sangat menepati cita rasa bagi sesiapa yang mahukan sebuah kenderaan yang nampak istimewa dan lain daripada yang lain.
Malah ia juga didatangkan dengan pakej aksesori pilihan bernilai RM9,000 dan ia hanya boleh didapati dengan pembelian bagi model edisi terhad ini. Aksesori tambahan ini melengkapkan lagi gaya Kizashi 2.4L Sport edisi terhad ini dan pastinya menyerlahkan lagi imej sporty.
Suzuki Kizashi edisi terhad ini turut dilengkapi dengan aspek keselamatan seperti ABS, EBD, beg udara dan ESP bersama kawalan cengkaman.
Dijanakan oleh enjin 2.4 liter DOHC empat silinder sebaris, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 178 PS dan tork 230NM. Turut dipadankan dengan transmisi CVT enam kelajuan yang mampu memberikan keselesaan di dalam pemanduan dan pecutan yang lebih berkuasa.
Suzuki Kizashi edisi terhad untuk varian Sport ini ditawarkan pada harga atas jalan RM158,207.20 berserta insurans. Ia juga didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000km (yang mana datang terlebih dahulu).