Nissan Elgrand baharu pamer kemewahan sebenar
Sebelum melancarkan Nissan Teana pada 3 Jun ini, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah memperkenalkan model import sepenuhnya, Nissan Elgrand baharu. Dengan mempamerkan elemen penuh kemewahan, MPV premium tujuh tempat duduk ini turut menawarkan ciri-ciri di luar jangkaan.
Bagi imej luaran, Nissan Elgrand baharu tampil lebih mantap dengan gril hadapan disalut krom penuh gaya serta disempurnakan lagi dengan rim aluminum aloi multi-jejari baharu bersaiz 18 inci. Malah lampu utama jenis LED projektor baharu dengan sistem lampu hadapan aktif adaptif (Active Adaptive Front-Lighting System), pandangan pada waktu malam dipertingkatkan.
Setiap ciri dalaman Nissan Elgrand baharu memiliki sentuhan mewah bermula daripada Paparan Multi-Informasi (MID) dan Kawalan Jelajah Automatik. Meter Fine Vision dengan Paparan Bantuan Pemanduan bersaiz lima inci diletakkan di antara meter kelajuan dan takometer, menawarkan pemandu maklumat penting dengan hanya satu satu sentuhan.
Kabin MPV ini juga lebih luas dan telah dipertingkatkan dengan menampilkan tempat duduk berasingan jenis kapten bersama Ottoman dan sokongan pada bahu yang boleh dilaras. Ia juga turut menampilkan tempat duduk kuasa yang boleh dilaras sehingga lapan cara, sekali gus menawarkan versatiliti terbaik dan selesa bersama ruang kaki yang cukup luas.
Untuk menambah ruang kargo, tempat duduk baris ketiga boleh digerakkan ke hadapan sehingga 240mm, biarpun ketika digunakan, memberikan ruang luas untuk meletak barang.
Nissan Elgrand baharu menampilkan ruang dalaman mewah berwarna hitam dengan kombinasi kemasan kayu. Tempat duduk yang dibalut kulit itu hadir dengan corak berbentuk berlian dan jahitan berkembar berwarna coklat bagi meningkatkan lagi kemewahannya.
MPV ini dilengkapi enjin 3.5 liter dan transmisi automatik. Ia didatangkan dalam empat lilihan warna iaitu Imperial Umber serba baharu, Putih Mutiara (Brilliant White Pearl), Perak (Brilliant Silver) dan Hitam (Phantom Black).
Ditawarkan pada harga atas jalan RM 388,000 (tidak termasuk insurans), pembelian Nissan Elgrand ini didatangkan bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mena-mana tiba dahulu). Tempahan kini diterima di mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara.