Mazda 5 SkyActiv dilancarkan pada harga RM157, 279
Selepas melancarkan Mazda 3 SkyActiv dan Mazda CX-5 2.5 pada 19 Mac yang lalu, Mazda Malaysia tidak mahu duduk diam sahaja.
Semalam, giliran model MPV Mazda 5 SkyActiv pula dilancarkan di pusat membeli-belah Sunway Pyramid. Pelancaran Mazda 5 ini turut menyertai barisan keluarga Mazda yang menerima sentuhan teknologi SkyActiv seperti Mazda 3, Mazda 6, Biante dan CX-5.
Menggantikan ‘jantung’ lama yang digunakan oleh model terdahulu, Mazda 5 baharu ini dijanakan oleh enjin petrol 2.0 SkyActiv-G yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 149 hp dan tork 190 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi Skyactiv-Drive enam kelakuan yang mampu memberikan respons yang berkuasa dengan pertukaran gear lebih lancar.
Mazda 5 ini mampu dipecut sehingga kelajuan maksimum 194 km/j. Malah juga mampu mencatatkan kelajuan antara titik sifar sehingga 100 km/j dalam hanya 11.4 saat.
MPV ini juga turut ditampilkan dengan sistem i-stop yang turut membantu jentera ini memberikan penjimatan bahan api yang lebih ekonomik iaitu 6.6 liter bagi setiap 100 km.
Melihat akan imej yang ditampilkan, ia kelihatan sedikit berbeza dengan model Mazda 5 tanpa SkyActiv. Di mana Mazda 5 SkyActiv tampil lebih impresif dengan kehadiran beberapa elemen yang membantu menyerlahkan lagi imejnya.
Antaranya dengan penampilan rim aloi bersaiz 16 inci yang membaluti tayar 205/55 R16, cermin sisi yang dilengkapi dengan lampu indikator, skrin sesentuh pada bahagian tengah papan pemuka dan dua skrin monitor pada bahagian belakang perehat kepala tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelahnya.
Malah model ini juga menampilkan skrin sesentuh yang bertindak sebagai paparan navigasi dan kamera undur, empat pembesar suara, sistem penghawa dingin zon tunggal, bumbung matahari dan juga pintu gelungsur.
Selain itu, tempat duduk Karakuri juga ditampilkan pada bahagian tengah tempat duduk barisan kedua. Malah tempat duduk barisan ketiga juga boleh dilipat dalam nisbah 50 : 50.
Berkenaan dengan aspek keselamatan pula, Mazda 5 SkyActiv dilengkapi dengan beg udara berkembar pada tempat duduk hadapan, ABS, EBD, BA, DCS, TCS, pengesan undur dan kerusi Isofix.
MPV ini juga hadir dengan empat pilihan warna iaitu Aluminium, Jet Black, Crystal Pearl White dan kelabu metalik.
Diimport sepenuhnya dari Jepun, Mazda 5 SkyActiv ini ditawarkan pada harga atas jalan RM157,279 berserta insurans. Ia juga hadir dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km (yang mana hadir terlebih dahulu) dan tiga tahun penyelenggaraan percuma termasuk insurans percuma pada tahun pertama.