Suzuki Swift RR edisi terhad diperkenalkan
Hari ini Suzuki Malaysia Automobile (SMA) telah memperkenalkan Suzuki Swift RR, edisi terhad, yang dijangkakan bakal berada di pasaran Malaysia sebelum tirai 2013 berlabuh.
Model edisi terhad yang terhasil daripada Suzuki Swift generasi ketiga ini hanya ditawarkan dalam 200 unit dengan harga yang dijangkakan di bawah RM70,000.
Tidak menerima sebarang perubahan daripada segi kejuruteraan mekanikal iaitu masih menggunakan enjin yang sama 1.4 liter VVT dengan kuasa maksimum 95 PS pada 6,000 rpm dan tujahan tork 130 NM pada 4,000rpm serta transmisi automatik empat kelajuan.
Namun Swift RR ini diberi suntikan yang lebih segar di bahagian luaran. Dengan gaya yang cukup sporty dan ranggi, pastinya model ini mampu menarik perhatian golongan muda khususnya.
Apa yang paling menarik pandangan, sudah tentu dengan penampilan kit badan dengan signature RR yang membaluti kerangka di bahagian hadapan sehingga ke belakang. Jelas kelihatan imej sporty, ranggi dan penuh maskulin bagaikan memiliki identiti sebuah jentera lumba rali. Apatah lagi dengan penampilan bampar di bahagian hadapan dan belakang, side skirt serta roof spoiler yang dipadankan khas untuk Swift RR ini. Bukan itu saja, rim aloi bersaiz 15 inci dengan emblem tertera perkataan Swift RR di bahagian belakang turut menyerlahkan lagi gaya model ini.
Untuk bahagian kabin, tidak banyak yang disentuh, melainkan ditambah skrin sentuh Blaupunkt Double-DIN yang turut dilengkapi dengan paparan bagi sistem navigasi dan kamera undur.