Volkswagen Passat 2015 bakal diperkenalkan pada awal Julai ini
Merancang untuk memperkenalkannya menerusi dalam talian pada 3 Julai ini, Volkswagen (VW) telah pun mendedahkan lakaran dan spesifikasi model Passat 2015. Tampil dengan imej rekaan semula yang lebih segar, Passat 2015 ini dipadankan dengan gril hadapan yang sporty dan lampu utama tersendiri.
Malah padanan rim aloi yang lebih besar, kekemasan krom dan sistem ekzos berkembar menambahkan lagi imej sporty Passat 2015 ini.
Walau pun gambaran di dalam kabin tidak didedahkan, namun menurut laporan, ia juga bakal ditampilkan dengan meter kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci. Malah kemungkinan besar sistem infotaimen juga bakal memiliki sambungan pada telefon pintar dan juga tablet.
Di bawah hudnya, ia dijanakan oleh enjin baharu 2.0 liter turbo berkembar TDI empat silinder yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 240 PS dan tork puncak 500 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan dan dilengkapi sistem pacuan semua roda yang turut membantu penjimatan bahan api. VW juga mendakwa, penggunaan bahan apinya tercatat lima liter untuk setiap 100 km.
Berdasarkan versi lakarannya, model Passat generasi terbaharu ini menggunakan platform MQB dan ia juga dikatakan 85 kg lebih ringan berbanding dengan model sedia ada.
Malah ruang kargonya juga dikatakan lebih luas dan tempat duduk belakang boleh dilipat mengikut konfigurasi 40:20:40.
Selain memperkenalkannya melalui dalam talian yang dijangkakan pada 3 Julai ini, Passat 2015 juga bakal ditayangkan di Paris Motor Show pada Oktober ini dan kebarangkalian besar mula berada di pasaran pada suku terakhir tahun ini juga.