Ops Cermin Gelap diteruskan
Sekejap ada, kemudian tiada dan kini ada kembali. Umpama iklan biskut Chipsmore, ‘Kejap ada, kejap tiada’. Itulah yang boleh digambarkan dengan perkembangan Ops Cermin Gelap yang diumumkan pada pertengahan Mei lalu dan dikatakan bakal memulakan operasi pada 16 Jun ini.
Namun seminggu selepas amaran mengenainya dikeluarkan, Ops Cermin Gelap ini dikatakan ditangguhkan berikutan respons dari orang ramai yang kebanyakan kurang berpuas hati dengan undang-undang yang sedia ada ini.
Malah pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata secara peribadi beliau bersetuju larangan penggunaan cermin gelap untuk kenderaan dikaji semula. Beliau telah mengarahkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Long See Wool untuk menganjurkan bengkel khas bagi tujuan ini.
Kementerian Pengangkutan (MOT) juga bersetuju untuk mengkaji semula aspek penggunaan cermin gelap, termasuk peraturan sedia ada, pengkuatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan.
Namun menurutu laporan yang dipetik dari akhbar The Star, memetik kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, mengumumkan Ops Cermin Gelap ini bakal dilaksanakan bermula pada tarikh yang dinyatakan. Di mana pemilik kenderaan hanya diberi tempoh sehingga 15 Jun ini untuk menanggalkan cermin gelap, sebelum kompaun RM300 dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut.
Walau bagaimana pun, bengkel khas bagi mengkaji undang-undang berkaitan yang dijadualkan pada 2 dan 3 Jun ini, bertempat di Hotel Holiday Inn Glenmarie Shah Alam, tetap akan diteruskan.