Volkswagen Tiguan 1.4 2WD gabungan inovasi & prestasi
Selepas memperkenalkan Volkswagen Jetta versi unit pemasangan tempatan (CKD) pada akhir April lalu, Volkswagen Group Malaysia (VGM) hari ini mengumumkan kehadiran model SUV kompak Tiguan 1.4 2WD ke pasaran Malaysia.
Model yang diimport sepenuhnya dari Jerman ini sudah pun berada di bilik pameran Volkswagen (VW) di Semenanjung Malaysia bermula hari ini.
Menggabungkan inovasi dan prestasi, Tiguan yang serba sporty ini turut menawarkan kelebihan yang praktikal dan versatil. Dengan tagline “Explore Life”, Tiguan turut menjamin penjimatan bahan api yang lebih efisien serta mampu memberikan pengalaman terbaik dalam pengendalian SUV ini.
Menurut Pengarah Urusan VGM, Christoph Aringer, Tiguan merupakan model terkini VW yang menawarkan pemanduan pacuan dua roda yang lebih berdinamik dengan penjimatan bahan api yang diyakini. Malah ia turut menawarkan ciri-ciri keselamatan yang sangat diperlukan.
Mengikut rekod jualan model Tiguan yang terdahulu, sejak pertama kali ia dilancarkan pada tahun 2007, sebanyak 600,000 unit berjaya dijual di seluruh dunia.
Bagi model facelift ini, ia dilengkapi dengan enjin 1.4 liter suntikan terus bahan api yang dipadankan dengan kotak gear DSG enam kelajuan. Ia mampu menjana SUV ini dengan kuasa maksimum 160 PS dan tork 240 Nm. Malah mampu dipecut sehingga 198 km/j dan catatan kelajuan daripada titik sifar sehingga 100 km/j ialah 8.9 saat.
Hasil gabungan inovatif TSI dan teknologi DSG, Tiguan dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api sehingga 7.1 liter bagi setiap 100 km.
Antara elemen menarik yang turut ditampilkan pada SUV 2WD ini ialah ia turut dilengkapi dengan sistem penghidup enjin automatik yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan pemancaran karbon dioksida.
Bagi aspek keselamatan pula, Tiguan dilengkapi dengan sistem pengesan ‘Rest Assist’ yang mampu memberikan amaran jika pemandu memandu dalam keadaan mengantuk. Selain itu, Tiguan turut menampilkan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), enam beg udara, tiga-poin tali pinggang keselamatan dan sistem anti kecurian.
Tampil dengan ciri-ciri penuh inovasi, Tiguan juga tampil dengan rekaan dalaman yang menjanjikan keselesaan optimum. Dilengkapi tempat duduk ‘Milan’ Alcantara, Tiguan juga didatangkan dengan brek parkir elektrik dengan auto-hold, pemegang tombol gear balutan kulit, cermin pandang belakang anti silau, tempat duduk penumpang belakang yang boleh dilipat, sistem tempat duduk boleh laras dan lapan pembesar suara.
Bukan itu sahaja, Tiguan juga tampil dengan elemen pilihan Teck Pack yang lebih inovasi termasuk kamera undur, sistem penghawa dingin ‘Climatronic’ dengan dua zon kawalan, skrin sesentuh berwarna RCD510 dengan sistem radio dan pemain MP3, sambungan untuk Bluetooth, kawalan kelajuan dan juga roda stereng balutan kulit.
Bagi rekaan luaran pula, Tiguan tampil dengan imej versatil. Kehadiran gril radiator krom dengan lampu utama bi-xenon dan lampu pencahayaan siang (DRL) LED (bagi pilihan Tech Pack), lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang, serta cermin sisi boleh laras secara elektronik menyerlahkan lagi gaya SUV ini.
Malah bagi menampakkan gaya yang lebih mantap, Tiguan turut dipadankan dengan rim aloi ‘Boston’ bersaiz 17 inci serta roof rail berwarna perak.
Dengan lima pilihan warna iaitu Pure White, Reflex Silver, Titanium Beige, Pepper Grey dan Toffee Brown, Tiguan ditawarkan pada harga RM178,888 dan jika dilengkapi dengan pakej pilihan Tech Pack pula, ia bernilai RM188,888.