Sistem baharu penjualan bahan api – Siapakah yang layak menikmati subsidi penuh?
Akhbar Sin Chew Daily hari ini mendedahkan beberapa perincian secara eksklusif mengenai sistem baharu bagi penjualan diesel dan petrol bersubsidi untuk pemilik kenderaan yang layak bermula pada September ini untuk kenderaan komersial dan Oktober atau November bagi pemilik kenderaan persendirian.
Berdasarkan sumber daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di bawah sistem baharu ini, pemilik kenderaan yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah dan bagi mereka yang memiliki kenderaan di bawah 2.0 liter layak mendapat subsidi penuh bagi bahan api tersebut.
Bagi mereka yang berpendapatan di antara RM5,000 hingga ke RM10,000 hanya layak menikmati subsidi petrol dan diesel sehingga 300 liter sahaja. Manakala bagi yang berpendapatan melebihi RM10,000 tidak berpeluang menikmati subsidi ini langsung. Begitu juga dengan pemilik kenderaan dari luar Malaysia yang juga tidak layak menikmati subsidi ini.
Sumber tersebut turut memberitahu Sin Chew Daily bahawa pihak kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaiktaraf MyKad bagi memasukkan maklumat berkenaan dengan kelayakan membeli bahan api bersubsidi, atau pun mungkin bakal memperkenalkan kad khas bagi tujuan pembelian bahan api.
Walau bagaimana pun, pemilik kenderaan perlu mendaftar dengan JPJ dan memberikan perician yang diperlukan, termasuk maklumat cukai korporat atau persendirian, untuk mengambil kad ini.
Berdasarkan sumber itu lagi, kad tersebut akan mengandungi maklumat seperti nama pemilik, alamat dan kuota bulanan bahan api. Ia perlu digoreskan di stesen minyak sebelum mengisi bahan api.
Dan sekiranya pemilik kenderaan mempunyai lebihan elaun bulanan, maka dia haruslah membeli (tambahan) bahan api pada harga pasaran. Malah menurut sumber berkenaan, kad ini juga membantu pihak berkuasa untuk mengesan penggunaan bahan api bagi pemilik kenderaan.
Walau bagaimana pun, perkara ini belum dimuktamadkan lagi dan pihak KPDNKK masih mengkaji usul ini bagi industri yang berkaitan.