Volvo XC60 Drive E sudah tiba di Malaysia
Ia dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun 2009. Setahun kemudian model pemasangan tempatan (CKD) 2.0 T PowerShift pula menggantikan model CBU T6. Tahun 2011, ia digantikan pula dengan model T5 PowerShift.
Kini model facelift XC60 telah muncul selepas hampir tiga tahun tidak ada model baharu. Diberi suntikan yang lebih segar, SUV ini diperkenalkan di peringkat global pada Februari tahun lalu dan baru kini ia berada di pasaran Malaysia.
Walau pun Volvo Malaysia masih sunyi sepi tanpa mengkhabarkan kedatangan model ini, namun Volvo Federal Auto Glenmarie telah memuat naik brosur Volvo XC60 Drive ini di laman web mereka. Jelas sekali, SUV ini tampil dengan imej yang baharu dan kelihatan lebih segar. Malahan, ia turut dipadankan dengan enjin baharu iaitu 2.0 liter Drive E empat silinder turbo yang mampu memberikan kuasa 245 hp dan tork 350 Nm.
Untuk memberikan kuasa yang lebih mantap, enjin baharu ini juga dipadankan dengan kotak gear automatik Geartronic lapan kelajuan. Difahamkan, SUV ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 210 km/j dan mampu dipecut daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya 7.2 saat.
Manakala penggunaan bahan apinya juga dikatakan menjimatkan iaitu dengan catatan 6.7 liter untuk setiap 100 km.
Berkenaan dengan imej yang ditampilkan, jelas kelihatan paras rupa yang macho dan agresif dipertaruhkan. Dengan gril hadapan yang agak lebar dan gabungan bampar hadapan yang kelihatan sedikit garang, memberikan kelainan pada XC60 Drive E ini. Malah kehadiran lampu pencahayaan siang (DRL) LED juga menyerlahkan lagi imej luarannya.
Antara elemen lain yang ditampilkan pada SUV ini ialah dengan kehadiran Corner Traction Control iaitu sistem vektor bagi tork baharu yang mampu mengelakkan berlakunya understeer jika jentera dibrek ketika melalui selekoh.
Selain itu, pakej Clear Zone Interior, sistem kunci pintar, Active Bending Light dan banyak lagi elemen menarik turut ditampilkan pada SUV ini.
Manakala bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan City Safety, Amaran Titik Buta (BLIS) dengan Amaran Pelanggaran, Whiplash Protection System, Lampu Brek Kecemasan, Kawalan Kestabilan Kenderaan dan juga enam beg udara.
Volvo XC60 Drive ini ditawarkan pada harga atas jalan RM288,888 tanpa insurans. Ia juga merangkumi waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, lima tahun penyelenggaraan berkala dan juga lima tahun servis bantuan Volvo-On-Call.