Volkswagen Golf R Mk7 hangat! – Harga bermula RM247k
Volkswagen Group Malaysia (VGM) baru saja mengumumkan ketibaan model hot-hatch terhangat, Volkswagen Golf R Mk7 di pasaran Malaysia. Ia didatangkan dengan dua varian iaitu model asas tiga pintu dan model lima pintu dengan dilengkapi Tech Pack lebih kurang sama dnegan Golf GTI yang dijual di sini.
Menerima imej yang lebih agresif dan stylo, kedua-dua varian tersebut turut tampil dengan bampar hadapan dan belakang baharu, lampu utama bi-xenon adaptif dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED serta paip ekzos berkembar.
Malah model asas juga dipadankan dengan rim aloi lima jejari “Cadiz” bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar 225/40. Manakala bagi varian lima pintu pula turut dipadankan dengan rim yang sama rekaan tetapi bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar 235/35.
Bukan itu sahaja, varian lima pintu turut menampilkan lampu utama automatik dan bilah pengelap, bumbung panoramik, cermin sisi boleh laras secara automatik, kawalan kelajuan, sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, kamera undur dan juga ruang penyimpanan tayar ganti. Malah pengesan parkir untuk bahagian hadapan dan belakang turut ditampilkan bagi model ini.
Pastinya lambang “R” menjadi kemegahan kedua-dua varian ini di mana ia juga tampil pada bahagian roda stereng. Manakala bahagian kabinnya juga hadir dengan elemen seperti pedal keluli, kekemasan gentian karbon, tempat duduk sport dengan logo “R”, cermin pandang belakang anti silau, sistem infotaimen dan pro navigasi dengan skrin sesentuh bersaiz lapan inci dan banyak lagi.
Bagi tempat duduk model tiga pintu, ia dibaluti dengan material Alcantara. Manakala bagi varian lima pintu pula material kulit Vienna. Malah bagi tempat duduk pemandunya juga boleh dilaras secara automatik dengan 12 cara.
Pastinya jentera hot-hatch ini sangat berkuasa beraksi di atas jalan raya apabila ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo dengan pancitan terus bahan api empat silinder yang mampu memuntahkan kuasa sehingga 280 PS pada 5,700 hingga 6,200 rpm dan tork puncak 380 Nm pada 1,750 hingga 5,600 rpm.
Ia turut dipadankan dengan kotak gear DSG enam kelajuan dan dipacukan oleh pacuan semua roda 4Motion. Malah jentera ini mampu mencapai kelajuan 100km/j hanya dalam tempoh lima saat. Dan kelajuan paling maksimum pula mampu mencecah 250km/j.
Kedua-dua model ini turut dilengkapi dengan sistem kekunci elektronik XDS+ dan sistem stereng progresif. Dan elemen tambahan Dynamic Chassis Control (DCC) untuk model lima pintu bagi pemilihan profil pemanduan.
Ia didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Pure White, Tornado Red, Lapiz Blue Metallic dan Deep Black Pearl.
Sesuai dengan kuasa, prestasi dan imej yang ditampilkan, Volkswagen Golf R MK7 ini dijual pada harga RM247,060 untuk model tiga pintu. Manakala bagi varian lima pintu pula ialah RM287,060. Kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.
Setiap pembeliannya juga didatangkan dengan waranti lima tahun tanpa perbatuan terhad dan lima tahun jaminan mobiliti.
Ia sudah pun berada di bilik pameran Volkswagen seluruh Malaysia.
1 Comment